Selamat Hari Bapa buat ayoh, aboh, ayah M---, buat en. Suamiku, abg-abg iparku, sahabat2ku yang bakal/sudah menjadi bapa dan semua bapa di seluruh pelusuk dunia. Buat bapa-bapa muda seperti en. Suami saya, semoga hari ini menaikkan semangat lagi supaya menjadi bapa yang mithali/terbaik untuk anak-anak generasi akan datang.
Untuk renungan bersama di hari yang berbahagia ini, saya petik a few words dari sini
Perkara penting untuk melahirkan keluarga bahagia terletak kepada kepimpinan bapa. Perkara itu meliputi keupayaan mendidik, menjaga keselamatan, memberi kasih sayang, menyara perbelanjaan dan mempertahankan maruah. Justeru, bapa perlu banyak berkorban demi melaksanakannya.
Sesungguhnya dalam hal ini bapa menanggung amanah yang besar. Maka dalam melaksanakan tugas tersebut memerlukan keikhlasan, kesediaan, kesungguhan, pengetahuan tentang tugas kebapaan, kemampuan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Semua aspek ini mempunyai pendekatan berbeza yang wajar dilakukan oleh setiap bapa dengan perasaan yakin dan tenang. Setiap aspek memerlukan kemahiran dan kemampuan khusus yang perlu dikuasai oleh kaum bapa. Kemahiran kebapaan bukan lahir secara ‘kebetulan’ apabila bergelar bapa. Semuanya memerlukan usaha ke arah itu. Seorang bapa dapat mendalami ilmu kebapaan dengan menghadiri kursus, berkongsi pengalaman, pembacaan dan penghayatan terhadap tugas.
Tugas bapa bukan setakat menyediakan keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian kepada anak-anak. Bahkan belum sempurna tugas tersebut biarpun telah berjaya memberi kemewahan material kepada anak-anak. Keperluan bapa melaksanakan tanggungjawab adalah meliputi keperluan fizikal dan rohani. Kedua-dua keperluan itu sama penting.
Sebenarnya memimpin keluarga ke jalan yang diredhai Allah SWT adalah satu jihad bagi seorang bapa untuk mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT. Setiap masa yang diluangkan untuk mendidik dan bermesra dengan anak dan ahli keluarga juga adalah sebahagian daripada jihad. Apa yang dilakukan tidak sia-sia. Setiap tenaga yang dicurahkan dan wang yang dibelanjakan untuk keluarga adalah sedekah. Balasan pahala yang disediakan amat besar. Bapa mithali mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Sebenarnya, bapa wajar sentiasa mengambil pendekatan terbaik untuk membentuk hubungan mesra dan ceria dengan anak-anak. Ajarkan kepada anak apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Beritahu mereka mengapa begitu dan begini terjadi. Malah, bapa sendiri perlu menunjukkan contoh yang baik. Di waktu itulah juga masa yang sesuai dijelaskan kaitan larangan dengan kehendak agama dan undang-undang kerana semua yang betul dan salah mempunyai alasan yang perlu diperjelaskan kepada anak. Jika ada perkara yang belum mampu mereka fahami, beritahu mereka “apabila dewasa nanti baru
faham. Sekarang ini cukuplah tahu kena buat, jangan buat, boleh dan tidak
boleh buat”.
Amat penting bagi bapa agar sentiasa berpegang bahawa konsep mendidik anak hendaklah berterusan. Bapa adalah contoh ikutan untuk membentuk peribadi anak. Oleh itu anak memerlukan masa bersama-sama bapa untuk memerhati dan mencontohi apa yang dilakukan oleh bapanya. Bapa adalah guru yang paling berkesan. Anak mudah ‘percaya’ apa yang diberitahu oleh bapanya.
Bapa mithali akan sentiasa mencari peluang untuk menghabiskan masa bersama-sama dengan anak dan ahli keluarga. Bahkan anak menjadi inspirasi kepada seseorang bapa untuk terus berusaha lebih gigih dan sentiasa mengutamakan keluarga. Sebab itulah keletihan dan tekanan kerja akan hilang apabila melihat wajah anak-anak serta mendapat layanan mesra daripada isteri.
Oleh itu para bapa janganlah mengambil mudah kasih sayang dan perhatian yang diperlukan oleh anak. Para bapa tidak boleh beranggapan bahawa sudah memadai kasih sayang dan perhatian yang diberikan oleh ibu.
No comments:
Post a Comment